Bagi saya adalan tidak relevan kerana jika pendidikan percuma maka cukai pasti akan naik, jadi rasionalnya tiada guna...PTPTN pula masih relevan cuma saya rasa 1% (perkhidmatan) itu perlulah  dimansuhkan....
tentang isu ini...
"Malam
 semalam sy telah menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet 2013) 
peringkat dasar di Dewan Rakyat. Apa yg sering kali dibangkitkan pihak 
Pembangkang adalah agar Kerajaan memberi pendidikan percuma dan 
memansuhkan PTPTN. Berikut adalah hujah yg sy bentangkan di Dewan Rakyat
 semalam utk menjawab persoalan2 tersebut;
 
 Pengajian tinggi 
adalah sebahagian daripada proses pendidikan yang bermula daripada 
peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara pada masa ini 
mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan Kerajaan membiayai 
sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut. Manakala, pengajian 
tinggi pula adalah bersifat pilihan apabila individu boleh memilih untuk
 melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam 
pekerjaan. Ia adalah pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan 
seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan
 yang lebih baik. 
 
 George Psacharopoulos yang merupakan pakar 
daripada Bank Dunia melalui kajian bertajuk “Returns To Investment In 
Higher Education : A European Survey” menyatakan keputusan untuk memilih
 pengajian tinggi adalah merupakan satu perlaburan kepada individu dan 
pulangan yang diperolehi oleh individu hasil daripada pengajian tinggi 
juga adalah lebih besar iaitu 10.2% berbanding 7.9% oleh masyarakat. 
 
 Justeru, adalah wajar individu membiayai sebahagian perlaburan tersebut
 daripada ditanggung keseluruhannya oleh pembayar cukai (orang awam). 
Pendidikan percuma anjuran Pembangkang telah memberi isyarat yang salah 
dari segi harga pendidikan yang menyebabkan ‘over-education’ kerana 
pengguna membuat keputusan yang tidak betul dari segi pelaburan 
pendidikan. Kos pengajian tinggi harus dikongsi bersama oleh pembayar 
cukai (orang awam) dengan individu kerana pengajian tinggi mempunyai 
ciri “quasi public goods”. 
 
 Walaupun begitu, di negara kita 
ketika ini di peringkat pengajian tinggi, Kerajaan telah memberi subsidi
 bagi yuran yang dikenakan kepada pelajar. Umpamanya, kos program 
pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum 
subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya membayar yuran 
sebanyak RM9,000 sahaja, yang mana 94.6 peratus telah diberikan subsidi 
oleh kerajaan. 
 
 Bagi program kejuruteraan pula, kadar yuran 
yang sepatutnya adalah RM61,200, manakala yuran yang dibayar oleh 
pelajar hanya RM5,600 sahaja iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh 
kerajaan. Manakala, bagi program farmasi pula kos sebenar adalah dalam 
lingkungan RM51,000 dan pelajar hanya perlu membayar yuran sebanyak 
RM6,800 sahaja. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini juga tidak 
pernah dinaikkan sejak tahun 1990-an lagi. Secara keseuruhannya, lebih 
90% pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai). 
 
Pokoknya, falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian tinggi 
sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada nilai ilmu dan keilmuan. Ia 
sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan nilai pengajian tinggi 
pada tempatnya. Pembayaran yuran juga membentuk golongan pelajar yang 
komited dan bertanggungjawab ke atas pelaburan yang dikeluarkan.
 
 Bagi negara maju di dunia, mereka juga telah mula mengenakan yuran 
pengajian di institusi pengajian tinggi awam masing-masing, antaranya 
ialah United Kingdom bermula tahun 1998. Namun bagi meringankan beban 
pelajar, kerajaan Britain telah memperkenal students loan scheme. 
Langkah yang sama juga diikuti oleh beberapa negara Eropah lain seperti 
Austria, Perancis, Ireland, Sepanyol, Belgium, Belanda dan lain-lain. 
 
 Kadar yuran yang dikenakan juga berbeza mengikut negara dari serendah 
50 Euro sehinggalah 1,302 Euro. Begitu juga dengan negara Morocco di 
mana Menteri Pengajian Tinggi dalam laman sesawang Morocco World News 
pada 23 Julai 2012 telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk 
menghentikan pengajian tinggi percuma di Morocco.
 
 Sungguhpun 
terdapat negara seperti Finland, Denmark dan Norway, yang dikatakan 
menawar pendidikan tinggi secara percuma, namun negara-negara ini 
mempunyai struktur cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia. Kadar 
cukai pendapatan individu di negara tersebut adalah antara 6.5 hingga 
55.4% dan mereka juga melaksanakan Goods and Services Tax (GST) dan 
Value-added Tax (VAT) sekitar 23 hingga 25% yang belum lagi diamalkan di
 Malaysia. 
 
 Pendapatan perkapita setahun negara-negara tersebut
 juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia di mana Finland 
mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak USD48,420, Denmark 
sebanyak USD60,390, dan Norway sebanyak USD88,890, manakala pendapatan 
perkapita Malaysia hanya USD8,420 sahaja. 
 
 Pendapatan per 
kapita hasil daripada cukai yang tinggi ini telah digunakan untuk 
membiayai pengajian tinggi. Ini menunjukkan bahawa sebenarnya tidak 
wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara di dunia ini kerana
 pasti akan ada pihak yang akan membiayainya. Dalam erti kata lain, 
pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana 
awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan 
kadar cukai 0-26% masih mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% 
kepada lebih 500 ribu orang pelajar IPTA setahun. 
 
 Hujah yang 
menjadikan Negara Turki sebagai contoh negara yang  memberi pendidikan 
percuma adalah tidak tepat sama sekali. Turki sebenarnya turut 
mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari dan pasca siswazah dan 
keadaannya sama seperti Malaysia. Negara Turki hanya menawarkan 
pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan 
sekolah tinggi dari gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 
adalah sekolah rendah; gred 5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 
adalah sekolah tinggi). Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di 
peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 
atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti Turki.
 
 Pada masa yang 
sama, sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi 
Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada
 tahun 1961 dan kadar faedah yang dikenakan adalah berdasarkan Indeks 
Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa. Kadar purata 
CPI untuk 2010 ialah 8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah 
tambahan sebanyak 2.5% daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada 
pelajar yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.
 
 Sebagai rumusan, pelaksanaan pengajian tinggi percuma akan melibatkan 
implikasi-implikasi yang memerlukan pertimbangan rasional agar tindakan 
tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara dalam mencapai status negara
 maju menjelang 2020. Di samping itu, pengajian tinggi percuma tidak 
boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah entiti perniagaan yang 
berasaskan keuntungan. 
 
 Situasi ini, akan menyebabkan tumpuan 
masyarakat akan beralih kepada IPTA. Manakala kualiti pengajian tinggi 
negara juga akan jatuh kerana faktor percuma menghilang nilai sebenar 
ilmu dan sikap kebertanggungjawaban pelajar. Sehubungan itu, pada masa 
ini, Kerajaan belum bersedia untuk memberi pengajian tinggi percuma 
kerana terpaksa mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat 
negara ini. 
 
 Maka di sinilah letaknya kepentingan Perbadanan 
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum penubuhan PTPTN, 
Kerajaan hanya mampu menyediakan biasiswa untuk sekitar 26,000 orang 
pelajar sahaja setahun. Ini bermaksud, ramai pelajar yang layak ke IPT 
tidak mendapat penajaan khususnya dalam kalangan mereka yang miskin dan 
berpendapatan sederhana. Namun, pada hari ini, PTPTN telah berjaya 
meningkatkan akses kepada pengajian tinggi di mana pada tahun 2011 
sahaja, sejumlah 227,209 orang telah berjaya melanjutkan pengajian di 
peringkat pengajian tinggi dengan bersumberkan pembiayaan PTPTN.
 
 Kerajaan melihat cadangan untuk memberikan pendidikan percuma dan 
menghapuskan PTPTN adalah sebuah lagi janji yang populis tanpa mengkaji 
implikasinya. Tindakan pemansuhan PTPTN sebenarnya akan memberi kesan 
yang amat besar kepada pelajar dan negara kerana ia akan:
 
 i. menghadkan akses kepada pengajian tinggi dalam kalangan pelajar miskin;
 ii. menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS; 
 iii. menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup 
pelajar IPTA/IPTS, di mana bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15 - 30 % 
pinjaman PTPTN digunakan untuk membayar yuran, manakala 70 - 85 % 
digunakan bagi menanggung kos sara hidup. Manakala bagi pelajar IPTS 
pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan
 iv. 
merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia 
sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020
 
 Oleh
 itu, Kerajaan akan mengekalkan pembiayaan PTPTN. Sehingga 31 Ogos 2012,
 PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 orang 
pelajar yang layak dengan komitmen sehingga pelajar tamat pengajian 
berjumlah RM45.4 bilion. Jumlah ini amat tinggi tetapi ia adalah 
pelaburan besar negara untuk manfaat rakyat dan pembangunannya."
  
 
0 comments:
Post a Comment