Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan tuan dalam
pilihan raya baru-baru ini. Dengan mandat yang cukup meyakinkan, saya
berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan dapat memimpin masa depan
rakyat Israel di ambang Abad baru.
Surat Dr Mahathir Kepada Benjamin Netanyahu
(Bernama)
– Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada
1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di sini.
PERDANA MENTERI MALAYSIA
14 Mac 1997
Tuan Yang Terutama
Tuan Benjamin Netanyahu
Perdana Menteri Israel
Jerusalem
Surat
tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam. Saya amat
menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di
Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian besar daripada
perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas.
Malaysia
percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran
menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada
pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan
Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada
Mahkamah Dunia untuk memutuskannya. Pertikaian antara Malaysia dan
Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan
untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.
Di
dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk
pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi
tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian
yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi
tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun
menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang. Setiap orang menikmati
pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati.
Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak
porak-peranda.
Perkara penting yang ingin saya tekankan
ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang
lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan.
Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha
mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu
tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap
meneruskan juga.
Tuan mengutuk Syria kerana membuat
ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan
sendiri. Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda
kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak
bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk
bertindak menentang tuan.
Jika mereka tidak
boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas
yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan
tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun. Apa yang tuan lakukan
sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang
dipersetujui oleh pendahulu tuan. Bagaimanakah kami boleh mempercayai
Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang
diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel. Tolong pertimbangkan
semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah
Arab.
Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah
untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia
rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan. Kami
berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan
Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi
penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta
penganut setiap agama.
Tiada agama yang
seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini. Kami berharap kalangan
belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu
berbaik-baik dengan mereka. Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan
pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel.
Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka
telah melakukan pengorbanan.
Kita harus ingat apabila
Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui
perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam. Kami
tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak
boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air
mereka dirampas daripada mereka sekarang.
Ia
mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah
tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand.
Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian
daripada Malaysia. Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita
tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.
Kami bersedia
untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi
kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi
komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah. Kami ingin
memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia
akan hubungan yang menjadi tetap.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Surat Dr Mahathir Kepada Yitzhak Rabin
(Bernama)
– Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993,
seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
21 Disember 1993
Tuan Yang Terutama
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM
Saya
ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober
memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama
antara Israel dan PLO.
Kerajaan saya menyokong
perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke
arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah
Timur Tengah. Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini,
negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong
proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya
berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat
Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka. Kerajaan saya juga
menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program
Kerjasama Teknikal Malaysia.
Demi prinsip umum, Malaysia
bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai.
Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan
perjanjian damai.
Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah
menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap
perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada
keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.
Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel
(ayat yang terakhir ini bertulis tangan)
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Sumber:
Bernama